Kegagalan Ginjal
- Ruang Utama
- >
- Kegagalan Ginjal
- >
- Penyakit Ginjal Biasa
Ikuti kami di Facebook
Ikuti kami di Instagram
Ikuti kami di YouTube
Ikuti kami di TikTok
Penyakit Ginjal Biasa
Nefropati Diabetes
Nefropati diabetes, juga dikenali sebagai penyakit ginjal diabetes, sering terjadi pada pesakit diabetes yang mempunyai kawalan lemah terhadap keadaan mereka. Diabetes adalah keadaan di mana badan tidak bertindak balas dengan insulin atau tidak dapat menghasilkan insulin. Apabila tahap insulin rendah di dalam badan dan/atau badan menentang insulin, paras glukosa darah kekal tinggi. Ini boleh menyebabkan kerosakan pada saluran darah di dalam ginjal, kerana nefron perlu bekerja lebih keras untuk menyaring darah. Lama-kelamaan, ginjal menjadi rosak dan hilang kemampuannya untuk menyaring.
Penyakit diabetes ialah penyebab utama kegagalan ginjal di Singapura, iaitu sebanyak 67% daripada kes baru. Terdapat 400,000 orang pesakit diabetes di Singapura pada hari ini dan bilangannya dianggarkan meningkat sehingga seramai 1 juta orang pada tahun 2050. Singapura berada pada kedudukan tinggi di dunia bagi penyakit nefropati diabetes, dengan 2 daripada 3 kes baru kegagalan ginjal disebabkan olehnya. 1 dari 3 orang mungkin menghadapi diabetes sepanjang hayatnya, dengan hampir separuh daripada mereka tidak menyedari keadaannya dan oleh itu, tidak dirawat.
Nefropati diabetes berlaku pada pesakit diabetes Jenis 1 dan Jenis 2. Kejadian tekanan darah tinggi pada pesakit diabetes adalah ramalan kuat untuk nefropati diabetes. Bagi mereka yang mempunyai nefropati diabetes, tekanan darah yang tidak terkawal akan merosakan dan mempercepatkan lagi perkembangan penyakit ini kepada CKD 5 atau kegagalan ginjal. Orang yang mempunyai sejarah nefropati diabetes dalam keluarga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat keadaan ini.
Tanda-tanda dan Gejala:
Kelesuan
Kebengkakan pada kaki
Gatal-gatal
Buih-buihan di dalam air kencing
Penurunan berat badan
Nefrosklerosis Hipertensi
Tekanan darah ialah daya tekanan darah ketika mengalir melalui saluran darah dan jantung. Hipertensi atau tekanan darah tinggi ditakrifkan sebagai tekanan darah yang secara konsisten melebihi 140/90mmHg ketika dalam keadaan sedang rehat. Faktor-faktor yang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi ialah apabila terdapat cecair lebihan dalam darah, saluran darah yang sempit, kaku atau tersumbat.
Tekanan darah tinggi boleh merosakkan saluran darah di dalam ginjal lalu mengurangkan keupayaannya untuk berfungsi dengan baik. Ginjal kemudian tidak dapat membuang sisa dan cecair lebihan dari badan. Cecair lebihan di dalam saluran darah boleh meningkatkan lagi tekanan darah dan mewujudkan kitaran kejam yang boleh merosakkan ginjal.
1 dari 4 warga Singapura menghidap Hipertensi. Hipertensi secara luas boleh dibahagikan kepada dua jenis: pada Hipertensi primer (95% daripada semua kes Hipertensi), faktor genetik dan persekitaran kuat menjadi punca Hipertensi. Untuk Hipertensi sekunder (5% daripada semua kes), punca yang boleh dikenal pasti termasuk penyakit ginjal, gangguan endokrin dan pengambilan ubat-ubatan.
Ginjal mempunyai peranan utama dalam mengawal tekanan darah. Penyakit ginjal boleh mempengaruhi fungsi ginjal sehingga ia merosakan dan lalu mengakibatkan peningkatan tekanan darah. Begitu juga sebaliknya, penyakit hipertensi boleh menyebabkan kegagalan ginjal atau memburukkan lagi penyakit ginjal yang sedia ada. Sekiranya tidak terkawal, perkembangan kegagalan ginjal akan berlaku jauh lebih cepat.
Tanda-tanda dan Gejala:
Sakit Kepala
Pening-pening
Kelesuan
Rasa tidak selesa pada leher
Glomerulonefritis
Glomerulonefritis ialah keadaan apabila glomerulus, iaitu penapis halus di dalam ginjal, mengalami keradangan. Sekiranya tidak dirawat, ginjal mungkin rosak teruk sehingga kehilangan kapasiti penapisan sepenuhnya. Keadaan ini merupakan punca kegagalan ginjal paling biasa kedua selepas nefropati diabetes.
Sebab-sebab autoimun:
- Lupus: Penyakit autoimun ini boleh menyebabkan keradangan kronik di dalam ginjal dan bahagian badan yang lain
- Nefropati IgA: IgA ialah antibodi yang dihasilkan untuk melawan jangkitan. Jika terlalu banyak deposit protein IgA di dalam ginjal, ia boleh menyebabkan keradangan pada penapis ginjal dan merosakkan fungsinya.
- Sindrom Goodpasture: Ini adalah penyakit autoimun yang jarang berlaku, dan bila terjadi, sistem imun badan akan tersilap menyerang bahagian paru-paru dan ginjal.
Sebab jangkitan:
Sakit tekak atau jangkitan kulit yang tidak dirawat akibat bakteria Streptokokus boleh menyebabkan serangan glomerulonefritis yang parah secara mendadak.
Secara biasa, badan akan menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan. Jangkitan yang tidak dirawat boleh merangsang penghasilan antibodi yang berlebihan. Apabila antibodi yang berlebihan itu tersimpan di dalam penapis ginjal, ia boleh menyebabkan keradangan lalu membawa kepada glomerulonefritis.
Tanda-tanda dan Gejala:
Darah di dalam air kencing
Buih-buihan di dalam air kencing (kebocoran protein)
Air kencing berwarna gelap atau merah jambu
Kadar air kencing yang semakin kurang
Kebengkakan
Penyakit Ginjal Polisistik
Penyakit ginjal polisistik (PKD) ialah punca kegagalan ginjal yang paling lazim berlaku di kalangan dewasa. Keadaan genetik ini menyebabkan pembentukan sista dari nefron. Sista ialah kantung yang bukan normal yang mengandungi cecair. Sista ini akhirnya akan menggantikan tisu ginjal yang normal dan orang berkenaan akan mengalami kegagalan ginjal.
Tanda-tanda dan Gejala:
Kesakitan pada bahagian sebelah atau di belakang perut
Darah di dalam air kencing
Jangkitan saluran pundi kencing yang kerap
Tekanan darah tinggi (Hipertensi)
Ketidakselesaan bahagian atas perut (sista hati dan pankreas)
Batu Karang Dalam Ginjal
Batu karang di dalam ginjal ialah penyakit pundi kencing yang sangat menyakitkan. Ia bermula sebagai kristal garam atau bahan kimia yang memendakkan air kencing. Dalam keadaan normal, air kencing mengandungi bahan yang menghalang penghabluran tetapi untuk pesakit yang mengalami keadaan ini, bahan penghalang ini tidak berkesan. Kristal kecil ini akan keluar bersama aliran air kencing tanpa menimbulkan masalah. Batu karang mungkin mengandungi pelbagai bentuk garam, dan yang paling lazim ialah kalsium dalam kombinasi fosfat atau oksalat. Garam ini adalah sebahagian penting daripada pengambilan dan keperluan diet harian kita.
Penyakit batu karang dalam ginjal sering berlaku pada kaum adam, kebiasaannya pada mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun. Punca kemungkinan bagi pembentukan batu karang ini adalah kerana:
- Kurangnya pengambilan air
- Berlebihan atau kekurangan bersenam
- Obesiti
- Pembedahan untuk penurunan berat badan
- Pengambilan garam berlebihan
- Jangkitan
- Pengambilan fruktosa berlebihan
- Sejarah keluarga yang mengalami penyakit batu karang
- Pengambilan ubat dan/atau vitamin dan makanan tambahan tertentu
Tanda-tanda dan Gejala:
Kesakitan apabila sedang kencing
Tidak boleh kencing kerana batu karang terlalu besar dan menghalang saluran keluar
Darah di dalam air kencing
Kesakitan yang melampau pada tapak batu karang yang menyebabkan kerengsaan
Jangkitan Saluran Kencing (UTI)
Ini bukan penyakit ginjal tetapi penyakit saluran pundi kencing. Namun, ia boleh menyebabkan jangkitan pada ginjal (pielonefritis) dan menyebabkan kerosakan ginjal kekal jika tidak dirawat. Pielonefritis ialah jangkitan kedua paling biasa – kedua selepas jangkitan di saluran pernafasan bahagian atas (batuk dan selesema biasa). Wanita sangat mudah mendapat jangkitan saluran kencing kerana uretra wanita lebih pendek dan berhampiran dengan pembukaan faraj.
Jangkitan berlaku apabila mikroorganisma (biasanya bakteria dari usus) melekat pada uretra dan mula membiak. Ia mungkin terbatas pada saluran kencing bawah (urethra dan pundi kencing) atau bergerak lebih tinggi sehingga melibatkan ginjal. Terdapat juga organisma yang menyebabkan keadaan ini menular secara seksual. Terdapat keadaan lain yang menyebabkan seseorang berisiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan saluran kencing seperti penyakit diabetes, atau situasi apabila kateter kencing diperlukan, kelainan saluran kencing, dan aliran kencing terhalang (prostat atau batu karang besar). Jangkitan saluran kencing juga biasa berlaku pada wanita hamil.
Tanda-tanda dan Gejala:
Kesakitan apabila sedang kencing
Air kencing yang terasa panas dan berbau busuk
Darah di dalam air kencing
Demam (dengan menggigil)
Rasa sakit di bahagian bawah perut
Peningkatan kekerapan ingin membuang air kencing
Rasa loya dan/atau muntah-muntah
Sakit belakang (Pielonefritis)
Nefropati Analgesia
Analgesik atau ubat menahan sakit merupakan ubat yang sangat biasa diberikan oleh doktor atau seseorang itu boleh membelinya di kaunter untuk melegakan pelbagai jenis kesakitan (dalam bentuk apa jua). Ia biasanya selamat apabila diambil dengan betul tetapi ia juga boleh membahayakan ginjal apabila penyalahgunaan berlaku. Terdapat juga keadaan ketika ubat diambil dengan betul, tetapi masih menyebabkan kegagalan ginjal yang ketara.
Nefropati analgesik ialah penyakit ginjal kronik yang berlaku apabila terdapat pengambilan ubat menahan atau menghilangkan sakit untuk jangka masa yang panjang (biasanya bertahun-tahun). Keadaan yang mungkin berkaitan dengan keperluan ubat menahan sakit berterusan ialah sebarang sindrom kesakitan kronik seperti artritis dan sakit kepala. Bukan semua jenis analgesik menyebabkan nefropati analgesik. Nefropati analgesia boleh menyebabkan kegagalan ginjal yang memerlukan dialisis atau pemindahan organ.
Tanda-tanda dan Gejala:
Darah di dalam air kencing
Buih-buihan di dalam air kencing
Rasa loya dan muntah-muntah
Kurang selera makan
Kelesuan
Kebengkakan