Rawatan
- Ruang Utama
- >
- Pilihan Rawatan
- >
- Panduan Pemakanan Secara Bijak Bagi Pesakit Dialisis
Ikuti kami di Facebook
Ikuti kami di Instagram
Ikuti kami di YouTube
Ikuti kami di TikTok
Panduan Pemakanan Secara Bijak Bagi Pesakit Dialisis
Diet yang seimbang, dengan jumlah protein, kalori, cecair, vitamin dan mineral yang tepat, diperlukan bagi pesakit dialisis atau pesakit dengan penyakit ginjal peringkat akhir agar mereka kekal cergas kerana ginjal mereka sudah tidak lagi berfungsi dengan kapasiti yang penuh.
Peringatan:
- Makan makanan yang sesuai dengan kuantiti yang disarankan setiap hari.
- Ambil ubat-ubatan mengikut preskripsi doktor.
- Menjalani rawatan dialisis yang ditetapkan tanpa melangkaui sesi dialisis.
- Amalkan gaya hidup yang aktif.
Mendapatkan Jumlah Kalori yang Betul
- Mendapatkan jumlah tenaga (kalori) yang betul adalah penting untuk kesihatan keseluruhan dan kesejahteraan tubuh.
- Keperluan tenaga setiap individu berbeza bergantung pada usia, jantina, saiz badan, tahap aktiviti fizikal dan keadaan perubatan mereka.
- Untuk pesakit PD: Cecair larutan dialisis yang digunakan akan memberi kalori tambahan dalam bentuk karbohidrat (dekstrosa). Anda mungkin perlu mengurangkan pengambilan karbohidrat harian anda untuk mengelakkan pengambilan kalori yang berlebihan.
• Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan/diet atau doktor anda mengenai kalori yang terdapat dalam cecair larutan dialisis anda.
Pengambilan Protein Yang Mencukupi
- Protein penting bagi pembinaan dan pemulihan otot-otot.
- Pesakit dialisis memerlukan pengambilan protein yang lebih tinggi kerana sejumlah protein akan hilang semasa proses rawatan dialisis (PD dan HD).
- Pengambilan protein yang tidak mencukupi boleh menyebabkan penurunan berat badan, pembaziran otot, mengurangkan kemampuan untuk melawan jangkitan dan dengan demikian, menyebabkan malnutrisi.
- Protein boleh dibahagikan kepada dua kategori: berkualiti tinggi dan rendah.
- Protein yang berkualiti tinggi termasuk daging, unggas, ikan dan putih telur.
- Sebilangan besar produk tenusu seperti yogurt, susu, keju dan produk soya juga mengandungi protein berkualiti tinggi.
- Jenis and jumlah protein yang betul adalah sangat penting bagi pesakit dialisis supaya kekal sihat.
Peringatan Penting! Makanan berprotein mengandungi fosfat. Oleh itu, pesakit dialisis mesti mengambil ubat pengikat fosfat mereka dengan KESEMUA makanan mereka.
Rendah Fosfat
- Oleh kerana ginjal menjadi kurang berkesan untuk menyaring produk sisa buangan, paras fosfat dalam darah meningkat.
- Apabila fosfat mula bertambah dalam darah, kalsium diambil dari tulang. Produk kalsium fosfat membentuk simpanan keras pada tisu pesakit yang menyebabkan kegatalan pada kulit, sakit sendi, kerengsaan mata dan mengeraskan saluran darah mereka.
Lama-kelamaan, tulang pesakit menjadi lemah dan rapuh. Ini akan menyebabkan keretakan tulang dan kesakitan yang berpanjangan. - Pesakit dengan paras fostat tinggi yang berpanjangan juga mempunyai peningkatan risiko kematian kerana kardiovaskular; akibat pengerasan saluran darah (kalsifikasi vaskular).
- Kedua-dua pesakit HD dan PD perlu mengawal jumlah fosfat dalam makanan mereka. Ubat pengikat fosfat dipreskripsikan kepada pesakit dialisis kerana ubat ini akan membantu mengurangkan jumlah fosfat yang diserap daripada makanan ke dalam aliran darah mereka.
- Elakkan makanan yang berfosfat tinggi seperti:
- Produk tenusu (seperti susu, keju dan tairu)
- Sup berasaskan tulang (seperti kaki ayam dan tulang rusuk)
- Produk kekacang (semua jenis kacang, biji-bijian, sup kacang)
- Minuman Kola (Cola)
- Koko dan produk berkaitan
- Minuman malt (seperti Milo, Horlicks, Ovaltine)
- Makanan berproses dan makanan dalam tin (seperti daging dalam tin, sosej, daging burger)
- Daging-daging organ (seperti hati, usus)
- Sardin dalam tin, ikan bilis dan belacan
Kalium (Potassium)
- Kalium adalah sejenis mineral yang penting untuk mengekalkan fungsi saraf dan otot dalam badan.
- Kalium perlu dikekalkan pada paras yang selamat dalam darah. Apabila paras kalium terlalu rendah atau terlalu tinggi, ia boleh membahayakan, boleh mengakibatkan serangan jantung.
- Beberapa tanda dan gejala paras kalium rendah termasuk kekejangan otot, kesukaran bernafas dan degupan jantung yang tidak normal, sementara paras kalium yang tinggi pula boleh menyebabkan kelemahan otot, kadar degupan jantung yang tidak normal dan dalam kes yang teruk, kegagalan jantung.
- Pembuangan kalium lebih berkesan melalui rawatan PD kerana pesakit menjalani rawatan dialisis ini setiap hari. Secara amnya, pesakit PD tidak perlu mengawal pengambilan kalium seketat pesakit HD.
- Paras kalium tinggi dalam darah mungkin berlaku pada pesakit HD dan ia boleh mengancam nyawa. Oleh itu, pesakit HD perlu mengehadkan pengambilan kalium dalam diet harian mereka.
- Kalium terdapat terutamanya dalam buah-buahan, dan sayur-sayuran, dengan jumlah yang banyak dalam kekacang, kacang kering dan produk tenusu.
- Makanan-makanan yang berkalium tinggi seperti berikut:
- Buah-buahan dan sayur-sayuran dari kumpulan tinggi kalium.
- Produk biijiran, roti dan biskut gandum penuh
- Kekacang, biji-bijian dan produk berkaitan (seperti coklat, mentega kacang)
- Kelapa dan produk berkaitan (seperti santan, kaya)
- Semua jus buah-buahan dan sayuran dalam tin, minuman ubat herba, teh/kopi yang pekat, koko dan minuman malt, susu dan wain (wine)
- Gula perang, molase, sirap maple, tofi dan likuoris (liquorice)
- Pengganti garam kalium tinggi, sos botol, ekstrak daging dan sayuran, pati ayam dan kiub stok
Tip! Anda boleh mengurangkan kandungan kalium dalam sayur dengan merendam sayur-sayuran yang telah dipotong kecil di dalam air selama 1-2 jam.
Rendah Natrium
- Secara semula jadi, natrium terdapat di dalam semua jenis makanan, dan ia sering didapati dalam makanan yang dibungkus dan diproses. Garam merupakan salah satu sumber utama natrium.
- Natrium akan meningkatkan rasa dahaga dan juga meningkatkan kecenderungan untuk minum air berlebihan.
- Akibat cecair lebihan, berat badan akan meningkat. Justeru, tekanan darah menjadi tinggi dan ini akan menambah beban pada jantung.
- Sekatan natrium dalam penyakit ginjal dapat mengekalkan keseimbangan cecair pada paras normal.
- Tip-tip untuk mengurangkan pengambilan natrium:
- Hadkan jumlah garam/sos semasa memasak.
- Elakkan menggunakan kiub stok, ekstrak daging dan sayuran seperti Bovril, Marmite
- Elakkan menggunakan ekstrak ayam dalam botol
- Baca label makanan yang diproses dan pilihlah produk yang mengandungi kurang daripada 120mg natrium bagi setiap 100g produk makanan tersebut.
- Kurangkan pengambilan makanan dalam tin dan makanan berproses. Sekiranya anda memilih untuk menggunakannya, toskan atau buangkan air garamnya.
- Gunakan herba segar dan rempah ratus untuk menggantikan garam / sos ketika memasak
- Gunakan limau segar, jus lemon dan cuka untuk meningkatkan rasa makanan.
Pesakit ginjal harus berhati-hati dengan pengganti garam (salt-substitute) kerana ia sering mengandungi kalium yang tinggi dan tidak boleh menggunakannya tanpa nasihat daripada doktor atau pakar diet terlebih dahulu.
Pengawalan Cecair
- Oleh kerana fungsi ginjal semakin berkurangan, pesakit dialisis mengalami penurunan dalam pengeluaran air kencing. Oleh yang demikan, penting bagi pesakit mematuhi sekatan cecair mereka.
- Pengumpulan cecair yang berlebihan dalam badan akan menyebabkan kesesakan nafas, tekanan darah tinggi dan kebengkakan pada kaki.
- Kedua-dua pesakit PD dan HD perlu mengambil kira pengeluaran air kencing mereka, baki fungsi ginjal serta saiz badan bagi menentukan pengambilan cecair mereka.
- Pesakit PD juga perlu memantau jumlah cecair yang dikeluarkan semasa pertukaran.
- Pesakit HD boleh memantau kenaikan berat badan antara dua sesi dialisis sebagai alat pengukur.
- Peruntukan harian untuk pengambilan cecair boleh berubah dari 500ml hingga 1000 ml sehari, bergantung pada pengeluaran air kencing pesakit.
- Elaun cecair harian merangkumi air biasa, teh, kopi, susu, kuah, sup dan bubur. Cecair lain yang cair pada suhu bilik seperti ais batu, ais krim, jeli juga dianggap sebagai cecair.
Penting! Pesakit dialisis harus mengikut saranan cecair yang dijadualkan oleh jururawat, pakar pemakanan atau doktor anda.
Pencegahan Anemia
- Anemia sering berlaku pada pesakit dialisis kerana ia merupakan salah satu komplikasi kegagalan ginjal.
- Eritpropoietin (EPO), yang dihasilkan oleh ginjal akan mendorong sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah merah. Apabila fungsi ginjal menurun, jumlah eritropoietin (EPO) yang dihasilkan akan berkurangan.
- Faktor-faktor lain yang menyebabkan anemia dalam kalangan pesakit dialisis adalah:
- Jangka hayat sel darah merah yang pendek kerana pengumpulan toksik urea
- Malnutrisi
- Kekurangan zat besi
- Kekurangan zat folat dan vitamin lain
- Kehilangan darah semasa hemodialisis
- Tanda dan gejala anemia termasuk keletihan, kelemahan, pening, sakit kepala, imuniti yang rendah, sesak penafasan, sakit dada, kehilangan selera makan dan kelihatan pucat.
Tip! Pengambilan protein, zat besi, vitamin C, vitamin B 12 dan folat yang mencukupi adalah penting untuk mencegah dan merawat anemia kerana zat gizi ini merupakan elemen penting dalam penghasilan sel darah merah baru.
*Maklumat dan cadangan di atas adalah garis panduan umum, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat khas bagi setiap individu. Sila berjumpa dan dapatkan nasihat daripada doktor atau penasihat penjagaan kesihatan untuk membuat keputusan kesihatan buat diri anda.
Resipi Mesra Ginjal
Diet yang seimbang penting bagi pesakit dialisis untuk kekal cergas kerana ginjal mereka sudah tidak lagi berfungsi pada kapasiti yang penuh. Mengehadkan pengambilan kalium, fosforus, gula, natrium dan cecair sering disyorkan untuk pesakit kegagalan ginjal. Muat turun buku panduan ini untuk mendapatkan pelbagai resipi mesra ginjal seperti nasi ayam claypot, pizza, frittata dan banyak lagi, yang sesuai untuk semua termasuk pesakit dialisis.